
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata projek itu perlu menjadi model baharu pelaksanaan pembangunan negara yang lebih cekap, tersusun dan berintegriti.
Beliau yang juga menteri kewangan bagaimanapun mengingatkan, dalam melaksanakan pembangunan itu kepentingan Orang Asli, penduduk setempat, nelayan serta kelestarian ekosistem akan terus dipelihara.
“Pembangunan negara mesti berjalan seiring dengan keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam kerana di situlah terletaknya makna kemajuan yang sebenar dan berkekalan,” katanya.
Terdahulu, perdana menteri mempengerusikan mesyuarat pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey, satu projek strategik yang penting untuk memperkukuh keupayaan ekonomi dan kedudukan negara dalam sektor pelabuhan dan logistik.
Beliau berkata, projek itu telah lama dirancang dan tidak wajar lagi ditangguhkan.
“Alhamdulillah, kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor mencapai kesepakatan untuk menggerakkan pembangunannya sesegera mungkin supaya manfaat pembangunan ini dapat dinikmati rakyat dan membuka peluang ekonomi baharu,” katanya.