Dewan Negara lulus Belanjawan 2026

Dewan Negara lulus Belanjawan 2026

RUU diluluskan dengan lebih suara bersetuju berikutan bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

dewan negara
RUU Perbekalan 2026 diluluskan di Dewan Negara setelah melalui 7 hari tempoh perbahasan dan penggulungan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sidang Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di hadapan Speaker Awang Bemee Awang Ali Basah.

RUU diluluskan dengan lebih suara bersetuju oleh ahli Dewan Negara berikutan bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan setelah melalui tujuh hari tempoh perbahasan dan penggulungan.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya, Amir Hamzah berkata, Belanjawan 2026 terus mengekalkan keseimbangan pembangunan ekonomi dan sosial dalam membina Malaysia yang lebih makmur, inklusif, dan berdaya tahan.

“Belanjawan 2026 menekankan kepentingan rakyat dengan matlamat meningkatkan darjat dan kesejahteraan hidup, memperkukuh ekonomi negara, di samping memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan,” katanya.

Belanjawan 2026 merupakan yang keempat di bawah kerajaan Madani dan yang pertama dilaksanakan di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’, ia memperuntukkan perbelanjaan awam sebanyak RM470 bilion, termasuk RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Ia turut merangkumi pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (RM30 bilion), kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) serta badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.