Elak sebar kenyataan sejarah tanpa rujukan tepat, gesa Majlis Sejarawan Negara

Elak sebar kenyataan sejarah tanpa rujukan tepat, gesa Majlis Sejarawan Negara

MSjN berkata, penyebaran maklumat tidak berasas berpotensi kelirukan masyarakat, jejas kefahaman awam terhadap sejarah negara.

arkib negara malaysia
MSjN menerusi Kementerian Perpaduan Negara dan Arkib Negara sedang rangka inisiatif bertujuan perkasa sejarah sebagai disiplin ilmu berteraskan fakta, pemikiran kritis dan wacana ilmiah. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Majlis Sejarawan Negara (MSjN) menyeru masyarakat agar lebih peka, beretika dan tidak tergesa-gesa mengeluarkan atau menyebarkan kenyataan berkaitan sejarah tanpa rujukan tepat.

Katanya, penyebaran maklumat tidak berasas berpotensi mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kefahaman awam terhadap sejarah negara.

“MSjN memandang serius penularan pelbagai dakwaan, tafsiran dan pandangan berkaitan isu-isu sejarah di ruang awam, khususnya di media sosial,” katanya dalam kenyataan.

“Sejarah bukan pandangan peribadi atau naratif bebas. Sebaliknya merupakan satu disiplin ilmu yang berasaskan metodologi penyelidikan yang khusus, penggunaan sumber berautoriti, fakta yang sahih serta penilaian kritikal yang berlandaskan kaedah ilmiah.”

MSjN menegaskan, sebarang kenyataan atau tafsiran berkaitan sejarah hendaklah dikemukakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berpaksikan kerangka ilmiah yang sahih.

Justeru, dalam usaha memperkukuh kefahaman sejarah, MSjN menerusi Kementerian Perpaduan Negara dan Arkib Negara sedang merangka inisiatif strategik dan pendekatan baharu.

“Inisiatif itu bertujuan memperkasakan sejarah sebagai disiplin ilmu yang berteraskan fakta, pemikiran kritis dan wacana ilmiah.

“MSjN kekal komited untuk memelihara integriti sejarah sebagai teras pembinaan jati diri dan negara bangsa,” katanya.

“Di samping memperkukuh budaya ilmu, pemikiran kritis serta penghormatan terhadap fakta sejarah demi kepentingan pendidikan, keharmonian sosial, perpaduan nasional dan kelangsungan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.