Amanah besar terajui Miti di sebalik cabaran ekonomi global, kata Johari

Amanah besar terajui Miti di sebalik cabaran ekonomi global, kata Johari

Johari Ghani berkata Miti berperanan penting pastikan daya saing negara terpelihara dan dasar perdagangan dan perindustrian terus beri manfaat nyata kepada rakyat.

Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani dilantik sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri, dalam rombakan Kabinet diumumkan hari ini.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani menyifatkan pelantikan untuk menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) sebagai satu amanah besar di sebalik persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Katanya, Malaysia tidak terlepas berdepan pengaruh ketidaktentuan geopolitik, perubahan landskap perdagangan serta perkembangan teknologi yang pesat.

“Miti memainkan peranan penting dalam memastikan daya saing ekonomi negara terus terpelihara, keyakinan pelabur diperkukuh, serta dasar perdagangan dan perindustrian negara terus memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri,” katanya memetik Bernama.

Hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Jemaah Menteri kerajaan Madani dengan Johari bertukar portfolio daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi yang diterajuinya.

Kekosongan jawatan menteri Miti susulan tempoh perkhidmatan Tengku Zafrul Aziz sebagai senator dan Ahli Dewan Negara berakhir pada 2 Dis.

Timbalan Menteri Miti akan disandang oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang juga muka baharu dalam senarai Kabinet Kerajaan Madani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.