
Beliau mahu perkhidmatan asas kerajaan dibaiki, pembangunan mampan, kawasan rekreasi dilindungi, dan insiden banjir dikurangkan.
“Kepercayaan yang diberikan ini merupakan satu tanggungjawab besar yang akan saya pikul dengan penuh komitmen, integriti, dan keazaman.
“Ini bagi memastikan tadbir urus Wilayah Persekutuan terus diperkukuh selari dengan aspirasi kerajaan serta tuntutan rakyat yang mahukan perkhidmatan awam cekap, inklusif, dan berkesan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, termasuk pertukaran portfolio serta lantikan baharu. Selain pertukaran portfolio menteri sedia ada, ia antara lain melibatkan enam timbalan menteri dan satu muka baharu yang diangkat menteri penuh.
Hannah antara menteri ditukar portfolio daripada menteri belia sukan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Dalam pada itu, Hannah turut komited untuk terus melibatkan pemegang taruh melalui libat urus menyeluruh khasnya Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan, terutama dalam setiap proses pembuatan dasar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan diberikan untuk menggalas amanah baharu.
Sementara itu, Hannah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di atas kerjasama, dedikasi, dan profesionalisme sepanjang menerajui kementerian itu, sejak 2022.
“Sepanjang amanah saya di KBS, keutamaan telah diberikan kepada kebajikan dan perlindungan atlet seperti pengenalan caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) dan Perkeso untuk atlet podium dan pelaksanaan program Road To Gold (RTG).”