Angkat Pengakap sebagai wadah pendidikan tak formal

Angkat Pengakap sebagai wadah pendidikan tak formal

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mohammed Mukhyuddin Sarwani kata peranan Pengakap dalam pembentukan karakter, sahsiah dan nilai kemanusiaan semakin relevan.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mohammed Mukhyuddin Sarwani (tengah) pada Majlis Apresiasi KL Scouts 2025 Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malam tadi.
KUALA LUMPUR:
Pergerakan pengakap perlu diangkat sebagai wadah pendidikan tidak formal dalam usaha melahirkan pemimpin dan individu yang bertanggungjawab, melangkaui peranannya sebagai pertubuhan beruniform semata-mata.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mohammed Mukhyuddin Sarwani berkata dalam mendepani cabaran semasa, peranan pergerakan itu dalam pembentukan karakter, sahsiah dan nilai kemanusiaan semakin relevan.

“Pengakap bukan sekadar sebuah pertubuhan beruniform, tetapi sebuah gerakan pendidikan bukan formal yang melahirkan pemimpin masa depan, warganegara bertanggungjawab dan insan yang berbakti dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi KL Scouts 2025 Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mohd Hilmi Abu Bakar; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Kuala Lumpur, Zamri Saiman dan Pengerusi Majlis Pengakap Kuala Lumpur, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah.

Majlis itu turut menyaksikan sebanyak 237 orang menerima Sijil Wangsa Pengakap Wilayah, iaitu sijil kepujian Ketua Pengakap Kuala Lumpur yang dianugerahkan kepada pemimpin dan individu yang banyak berbakti kepada pergerakan pengakap di negeri itu.

Mukhyuddin berkata anugerah berkenaan bukan sekadar simbol penghormatan, tetapi pengiktirafan terhadap komitmen, kesetiaan dan khidmat bakti yang berterusan kepada gerakan pengakap.

“Saya berharap agar penganugerahan ini menjadi penyuntik semangat untuk para penerima terus melangkah ke hadapan, memimpin dengan hikmah dan memperkukuh nilai-nilai pengakap dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.