
Beliau berkata perkara paling asas ialah sikap saling menghormati sistem pendidikan dalam negara.
“Setiap ahli politik ada pandangan masing-masing, itu perkara biasa. Tetapi bagi saya, yang paling penting ialah semua rakyat Malaysia menghormati apa yang kita ada.
“Kalau ada yang tidak bersetuju dengan UEC, mereka tidak perlu memilih aliran itu.
“Jika ada yang merasakan UEC diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mahu mengikutinya, itu pilihan mereka,” katanya menurut Berita Harian selepas satu majlis di Kuala Lumpur.
Semalam Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menegur Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming memahami Dasar Pendidikan Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meminta kerajaan mengiktiraf UEC.
Katanya tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan pengiktirafan UEC yang tidak menepati aspek penting dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Nga dilaporkan akan meminta pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengiktirafan UEC.
Johari berkata Malaysia menawarkan pelbagai laluan pendidikan tanpa paksaan, termasuk universiti, kolej dan aliran akademik berbeza.
Tetapi, beliau mengingatkan sekolah kebangsaan mempunyai silibus ditetapkan kerajaan dan sebarang perubahan perlu dibuat dengan teliti.
Mengenai PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Johari berkata tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan parti itu masih menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya.