
Kenyataan Sim menyusuli kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan awal hari ini bahawa premis yang mempunyai sijil halal dibenarkan mempamerkan hiasan perayaan bukan Islam, termasuk Krismas.
Sim berkata, penjelasan Zulkifli itu wajar dihormati dan dijadikan panduan bersama agar pelaksanaan dasar di lapangan lebih konsisten serta tidak mengelirukan pengusaha perniagaan.
“Kini tiba masanya kita memastikan perniagaan Malaysia dapat terus maju tanpa mengira kaum, agama, negeri dan wilayah, termasuk dalam sektor makanan dan hotel yang melibatkan banyak PMKS,” katanya dalam kenyataan.
“Sehubungan itu, proses dan prosedur kerajaan di semua peringkat harus dipermudahkan serta diselaraskan supaya peniaga Malaysia dapat beroperasi dengan jelas tanpa kekeliruan atau tafsiran peraturan yang pelbagai.”
Zulkifli berkata, pendirian kementeriannya itu adalah berdasarkan keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2023, yang mengesahkan bahawa premis bersijil halal, termasuk restoran dan hotel, dibenarkan menggunakan imej, ilustrasi atau hiasan bagi perayaan bukan Islam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hiasan tersebut mestilah bersifat sementara, tidak melibatkan peralatan pemujaan agama, serta tidak dipamerkan bersama sijil atau logo halal.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap laporan bahawa restoran dan hotel bersijil halal di Melaka dilarang memasang hiasan Krismas, susulan satu pekeliling yang didakwa dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
Langkah itu mengundang kritikan daripada Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Adun Ayer Keroh Kerk Chee Yee, yang menyifatkan sekatan itu sebagai tidak perlu kerana status halal bergantung kepada sumber dan penyediaan makanan, bukannya hiasan, selain bercanggah dengan sifat kepelbagaian budaya di Malaysia.
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong turut menggesa Jaim supaya akur dengan pendirian kementerian hal ehwal agama berhubung perkara itu.
Jakim akui wujud kekeliruan dalam manual
Sementara itu, Jakim mengakui timbul kekeliruan berhubung satu klausa Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020, yang menyebabkan salah faham berhubung pameran hiasan Krismas.
Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee berkata, menurut manual tersebut, pemegang sijil halal tidak dilarang mempamerkan hiasan musim perayaan, termasuk Krismas, selagi tiada sebarang unsur penyembahan atau ritual keagamaan.
Beliau berkata, pameran hiasan itu tidak akan menjejaskan status halal yang diperolehi premis berkenaan, lapor Kosmo.