
Chong, yang merupakan bekas timbalan menteri pendidikan, berkata laluan bagi pemegang UEC telah berkembang ketara sejak bertahun lamanya, sekali gus menjadikan perdebatan mengenai isu tersebut kurang relevan bagi komuniti tersebut.
Beliau merujuk pemegang UEC kini boleh memohon kemasukan ke universiti swasta tempatan dan juga mendapat akses pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Sekarang, bila kata hendak iktiraf UEC, kepada majoriti masyarakat Cina, ia sudah tidak relevan lagi,” katanya memetik wawancara bersama Utusan Malaysia.
“Dulu pada 60-an, 70-an ya, sebab tiada tempat. Kalau yang tidak cukup duit ke Taiwan, habislah. Kolej pun tiada, tidak boleh masuk. Mati macam itu sahajalah.”
Perdebatan mengenai UEC kembali timbul baru-baru ini selepas Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengumumkan rancangan untuk mendesak pengiktirafannya, sehingga mencetuskan tentangan pemimpin Umno dan pihak lain, mendakwa ia mengancam kedudukan bahasa kebangsaan.
UEC merupakan kelayakan sekolah menengah bagi pelajar di sekolah persendirian Cina. Ia tidak diiktiraf untuk kemasukan terus ke kebanyakan universiti awam Malaysia atau perkhidmatan awam persekutuan, dengan Sabah dan Sarawak menjadi negeri yang menerimanya secara rasmi.
Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menolak bulat-bulat pengiktirafan UEC, beliau menyatakan perkara itu hanya boleh dibincangkan setelah keutamaan menguasai bahasa Melayu dimantapkan dan diangkat sewajarnya.
Chong juga mendakwa, semasa tempoh pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak, pengiktirafan bersyarat telah dicadangkan: pemegang UEC perlu memperoleh sekurang-kurangnya kredit dalam bahasa Melayu di peringkat SPM. Namun, DAP yang ketika itu pembangkang, menolak.
” DAP kata apa? Pengiktirafan UEC kenalah tanpa syarat. Masa itu DAP pembangkang, jadi sekarang perkara itu menghantui mereka,” katanya.
Manifesto Pakatan Harapan pada PRU2018 menjanjikan pengiktirafan UEC, yang membolehkan pemegang sijilnya mendapat akses ke universiti awam dengan syarat mereka mencapai sekurang-kurangnya kredit dalam bahasa Melayu.