
Pemangku Presiden Joachim Gunsalam, yang juga timbalan ketua menteri I, menerangkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan sejajar semangat persatuan serta hubungan antara negeri dan negara.
“Kita akan mematuhi perlembagaan negeri, kita mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Maka untuk kita bekerjasama itu bukanlah bertentangan dengan prinsip PBS,” katanya lapor Bernama, dalam ucapan sempena sidang tahunan PBS di Penampang, Sabah.
Joachim menyangkal naratif yang cuba memesongkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ sebagai retorik anti-Malaya atau usaha membawa Sabah keluar daripada Malaysia.
“Ini bukan semangat sebenar slogan ‘Sabah for Sabahan’. Ia bermaksud memastikan anak-anak Sabah memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri dan persekutuan, terutama jawatan yang beroperasi di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Joachim beritahu pemberita bahawa beliau sependapat dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, bahawa GRS mungkin mempertimbangkan untuk memberi laluan serta tidak bertanding PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
“Saya rasa ia keputusan yang wajar jika kita mahukan kestabilan di negeri ini,” katanya.
Hari mengundi bagi kedua-dua pilihan raya ditetapkan pada 24 Jan 2026, manakala penamaan calon pada 10 Jan.
Pilihan raya diadakan susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin, yang juga ketua Umno Sabah, pada 5 Dis.