
Beliau berkata, dokumen palsu mempunyai tandatangannya itu dipercayai direka sindiket penipuan dan mendakwa Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dilantik JSJK sebagai entiti rasmi untuk membantu melaksanakan program pemulangan wang kepada mangsa penipuan.
“Program bantuan pemulangan wang seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan tidak wujud.
“Sebarang dakwaan mengenainya adalah palsu dan bertujuan mengelirukan orang ramai,” katanya menurut Harian Metro.
Jelasnya, proses pemulangan wang kepada mangsa penipuan bukan berbentuk ‘program bantuan’, sebaliknya ia komitmen dan tanggungjawab polis mengikut peruntukan undang-undang, hasil siasatan serta keputusan mahkamah.
Justeru, Rusdi menasihatkan orang ramai tidak mempercayai atau menyebarkan dokumen palsu itu.
“Jangan berurusan dengan mana-mana pihak menawarkan bantuan pemulangan wang, terutamanya yang meminta bayaran, maklumat peribadi, butiran perbankan atau dokumen pengenalan diri menggunakan nama PDRM, JSJK atau agensi kerajaan tanpa pengesahan rasmi.”
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi polis atau balai polis berhampiran dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.