
Beliau berkata pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sim Kiang Cheok, tersilap faham apabila menganggap pelantikan Mordi Bimol sebagai timbalan menteri belia dan sukan sebagai bukti DAP berpatah balik daripada pendirian sebelum ini.
“Tuduhan DAP Sarawak pernah berkata kami akan kekal sebagai penyokong belakang (backbencher) adalah tidak benar.
“Apa yang kami maksudkan sebelum ini ialah kami akan kekal sebagai pembangkang di DUN Sarawak,” katanya kepada FMT.
Chong menjelaskan dalam soal jawatan di peringkat Persekutuan, tidak munasabah untuk menolak Ahli Parlimen daripada parti yang sama hanya kerana ia menjadi pembangkang di negeri masing-masing.
“DAP Sarawak adalah sebahagian daripada DAP peringkat nasional, sebuah parti dalam Parlimen Persekutuan. DUN dan Parlimen adalah dua perkara berasingan,” katanya.
Pada 2022, Chong dipetik berkata berkata DAP Sarawak akan memainkan peranan semak dan imbang di Parlimen bagi memastikan ketelusan serta tadbir urus yang baik dilaksanakan oleh kementerian dan agensi kerajaan.
Jumaat lalu, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling dipetik berkata kenyataan itu tidak bermaksud parti itu selama-lamanya menolak tanggungjawab eksekutif di peringkat Persekutuan.
Adun Pending Violet Yong pula berkata SUPP sepatutnya meraikan kejayaan seorang anak Sarawak yang berkebolehan.
“Banggalah apabila seorang Dayak Sarawak berjaya, tanpa mengira parti politik,” kata wakil rakyat DAP itu.