Permohonan DNAA Zahid dibuat ikut peruntukan undang-undang, kata AGC

Permohonan DNAA Zahid dibuat ikut peruntukan undang-undang, kata AGC

Jabatan Peguam Negara berkata, tindakan tersebut diambil berdasarkan keadaan semasa pada ketika itu.

agc
AGC berkata, pihaknya tidak akan keluar kenyataan lanjut berhubung merit permohonan DNAA buat Zahid dua tahun lepas.
PETALING JAYA:
Keputusan memohon pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Zahid Hamidi lebih dua tahun lalu dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC menyatakan bahawa tindakan tersebut diambil berdasarkan keadaan semasa pada ketika itu, termasuk keperluan menjalankan siasatan lanjut.

“Memandangkan perkara ini kini berada di bawah pertimbangan mahkamah, jabatan ini tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung merit permohonan (DNAA itu),” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu bagi menjawab tindakan seorang peguam memfailkan permohonan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung siasatan pihak berkuasa susulan DNAA Zahid pada 2024.

Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim berkata, permohonannya bukan mencabar budi bicara peguam negara untuk memohon DNAA, mahupun bertujuan menentukan lebih awal sebarang keputusan pendakwaan.

Permohonan itu menuntut ‘kejelasan, akauntabiliti, dan penyelesaian tepat pada masanya’ susulan alasan yang dikemukakan secara terbuka bagi mewajarkan DNAA tersebut, iaitu keperluan siasatan lanjut dijalankan dengan lebih menyeluruh.

“Lebih setahun telah berlalu, dan tiada sebarang kemas kini diberikan secara terbuka, sama ada siasatan tersebut telah selesai atau bila keputusan muktamad pendakwaan akan dibuat,” kata Syed Amir dalam kenyataan.

Difahamkan bahawa permohonan kebenaran itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Pada 2023, Mahkamah Tinggi memberi Zahid DNAA atas 47 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Peguam negara memohon DNAA tersebut berdasarkan representasi yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Zahid kepada pihak pendakwaan, yang mendakwa bahawa SPRM masih menyiasat perkembangan kes itu.

Dalam saman pemulanya, Syed Amir memohon deklarasi bahawa DNAA yang diberikan atas dasar ‘siasatan lanjut’ tidak boleh dikekalkan secara sah tanpa had tanpa ketekunan, kemajuan dan penyelesaian yang munasabah.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kebergantungan terhadap suruhanjaya siasatan diraja atau proses eksekutif lain tidak menggantung atau menggantikan tugas perlembagaan pihak pendakwaan untuk membuat keputusan muktamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.