
Shamir Rajadurai, pakar pencegahan jenayah dari Prevent Crime Now dan AntiBuli.My, beritahu FMT bahawa platform mesti berhenti menganggap aspek keselamatan sebagai ‘sisipan’, sebaliknya perlu diterap dalam reka bentuk asal.
Beliau berkata akaun kanak-kanak sepatutnya secara automatik mempunyai tetapan paling ketat, termasuk hubungan terhad dengan orang asing, penapis yang lebih kuat, dan kawalan lebih ketat ke atas siapa yang boleh melihat atau menghantar mesej kepada mereka.
“Keselamatan dipasang melalui reka bentuk. Jangan biarkan kanak-kanak berusia 13 tahun bersusah payah mencari tetapan untuk rasa selamat,” katanya.
“Bertindak berdasarkan corak, bukan sekadar aduan. Platform sudah boleh melihat apabila seorang kanak-kanak disasarkan berulang kali melalui komen dan mesej peribadi (DM). Mereka tidak sepatutnya menunggu kanak-kanak itu berani membuat laporan. Mereka perlu proaktif mencelah dan menyekat pengguna yang menyalahguna akaun.”
Madeleine Yong, pengasas Protect and Save the Children, menyokong seruan kepada mereka bentuk semula platform yang mengutamakan kanak-kanak.
“Platform memerlukan semakan umur yang lebih kukuh, tetapan asal yang lebih selamat untuk kanak-kanak, pembuangan kandungan berbahaya dengan lebih pantas, dan alat pelaporan yang jelas serta mudah digunakan oleh golongan muda,” katanya.
Tanggungjawab bersama
Yong berkata satu lagi anjakan budaya yang amat diperlukan memerlukan ibu bapa dan komuniti bersatu dan lebih berempati.
Beliau berkata ibu bapa boleh membantu dengan mempelajari cara media sosial dan aplikasi berfungsi, menetapkan peraturan yang jelas tetapi adil, serta perbincangan terbuka secara berkala dengan anak-anak mengenai tingkah laku dalam talian, privasi, dan batasan.
Nazreen Nizam, pengarah eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), menyatakan perbualan harus bersifat menyokong bagi memupuk ketelusan dan memberikan gambaran lebih jelas tentang aktiviti dalam talian.
Beliau berkata ibu bapa perlu menunjukkan sifat ingin tahu dan bukannya syak wasangka, bertanya soalan terbuka, dan mengelakkan penghakiman moral.
“Mereka harus menjauhi pendekatan berasaskan ketakutan dan mengamalkan kepercayaan, empati, serta tanggungjawab bersama,” kata Nazreen kepada FMT.
“Batasan yang jelas, ketersediaan emosi yang konsisten, dan rasa hormat terhadap perasaan kanak-kanak adalah kunci. Apabila kanak-kanak tahu mereka akan didengari tanpa hukuman atau ejekan, mereka lebih cenderung untuk bersuara awal, sebelum bahaya melarat menjadi penderaan atau trauma yang serius.”
Walaupun ibu bapa memainkan peranan penting, Yong berkata, tanggungjawab itu mesti dikongsi dengan komuniti dan platform dalam talian yang digunakan oleh kanak-kanak setiap hari.
Beliau menekankan kanak-kanak lebih terlindung apabila ibu bapa, komuniti, sekolah, pihak berkuasa, dan platform bekerjasama.
Yong juga berkata semua pihak berkepentingan harus mengukuhkan mesej yang sama tentang keselamatan dalam talian, keizinan, dan cara melaporkan bahaya. Ini bagi memastikan kanak-kanak terima mesej yang konsisten daripada lebih daripada seorang dewasa yang dipercayai.