
Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Ismail berkata, akta itu akan meningkatkan tanggungjawab penyedia platform digital dalam melindungi rakyat daripada ancaman siber yang semakin serius dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, berdasarkan rekod polis, rakyat Malaysia mengalami kerugian RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian bagi tempoh Januari 2023 hingga November 2025.
Tambahnya, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan, dengan 688 kes direkodkan dari Januari 2021 hingga November 2025.
“Selain itu, kes berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) mencatatkan sebanyak 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan.
Khalid berkata, akta itu juga akan memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti serta kandungan ekstremisme, selaras dengan komitmen berterusan polis untuk melindungi rakyat dan memastikan keselamatan dalam persekitaran siber pada masa akan datang.
Sehubungan itu, polis akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kementerian berkaitan serta penyedia platform digital menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan, tambahnya.
“Seiring pelaksanaan Onsa, polis komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan serta pengukuhan perkongsian maklumat strategik, tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid yakin Onsa akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks.
Akta yang diwartakan pada 22 Mei lepas dan berkuat kuasa hari ini memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform digital dalam mengurus kandungan berisiko tinggi, termasuk bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, kandungan lucah, kandungan sumbang dan berkaitan kemudaratan diri.