Kartel tipuan bida projek Penjara Kluang, 6 syarikat mungkin didenda

Kartel tipuan bida projek Penjara Kluang, 6 syarikat mungkin didenda

Siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendapati wujud penyelarasan bida membabitkan 16 sebut harga dan satu tender bernilai RM7.3 juta.

mycc
Siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas pertimbang representasi perusahaan itu.
PETALING JAYA:
Enam syarikat berdepan hukuman denda penalti kewangan selepas Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan berhubung pembabitannya dalam kartel tipuan bida melibatkan perolehan Jabatan Penjara Kluang.

MyCC dalam kenyataan berkata kartel itu membabitkan 16 sebut harga dan satu tender dengan nilai perolehan antara RM30,000 hingga RM3 juta, menjadikan jumlah keseluruhan bernilai RM7.3 juta.

Menurut suruhanjaya itu, hasil penyiasatan mendapati syarikat-syarikat terbabit secara berperingkat melanggar Seksyen 4(2)(d) Akta Persaingan 2010 atau Akta 712, yang melarang amalan penipuan bida dalam proses perolehan.

“Kartel beroperasi melalui pertukaran maklumat serta penyelarasan penyerahan tender dan bida oleh pihak yang sama, dengan objektif menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara dalam perolehan awam,” katanya.

Bagaimanapun, MyCC menegaskan keputusan cadangan itu adalah dapatan awal dan tidak boleh dianggap sebagai kesimpulan muktamad syarikat berkenaan telah melanggar Akta 712.

Menurut kenyataan itu, semua perusahaan terlibat telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan dan diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukakan representasi bertulis.

“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi perusahaan-perusahaan itu bersama bukti semasa penyiasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.