
Presiden Persatuan Kor Pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc), Abdul Aziz Ibrahim dan Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, berkata seruan itu bertujuan menyahkan keraguan terhadap siasatan.
“Proses undang-undang perlu dilaksanakan tanpa kompromi,” kata Aziz ketika dihubungi FMT, mengulas siasatan SPRM ke atas dakwaan aliran wang ke akaun bank seorang pegawai kanan tentera.
“Tindakan terbaik adalah pegawai tersebut bercuti dan tugasnya perlu digalas oleh pegawai lain.”
Leftenan jeneral bersara itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai amat serius.
“Prinsip keadilan ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ dan proses perundangan di bawah Akta SPRM serta Akta Angkatan Tentera mesti dihormati sepenuhnya.
“Siasatan mestilah dijalankan secara bebas dan profesional tanpa campur tangan luar untuk memastikan kebenaran terungkap,” katanya.
SPRM berada di Kementerian Pertahanan (Kementah) bagi menyiasat beberapa projek melibatkan tentera darat sejak 2023 hingga kini, semalam.
Menurut sumber, siasatan akan memberi tumpuan kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat. Transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu juga akan diteliti, katanya.
Siasatan dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM.
“Kita tidak mahu orang yang didakwa terlibat masih bebas bertugas. Ini akan memberi imej buruk. Setelah siasatan selesai dan jika terbukti tiada kesalahan, mereka boleh kembali bertugas seperti biasa,” kata Khlir, seorang wakil rakyat Bersatu.
Sementara itu, Khlir menyeru kepada pematuhan kepada jawatankuasa penilai bagi perolehan aset tentera.
“Jika jawatankuasa penilai mencadangkan untuk menerima permohonan, ia perlu diterima dan bukan dibuat keputusan sebaliknya,” katanya.
Kementah menegaskan komitmen pada pematuhan undang-undang dan prinsip keadilan, susulan dakwaan kes pengubahan wang yang dilaporkan kepada pihak berkuasa, melibatkan seorang pegawai atasan tentera.
Menteri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut atau mengambil tindakan seterusnya, selaras peruntukan undang-undang.
Orang ramai juga dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau penghakiman sendiri sehingga siasatan selesai dan dapatan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa.