Kes 1MDB: Pendakwaan mohon Najib dijel 20 tahun, denda RM11.39 bilion

Kes 1MDB: Pendakwaan mohon Najib dijel 20 tahun, denda RM11.39 bilion

Pendakwaan juga mohon hukuman penjara bermula selepas Najib Razak selesai jalani hukuman untuk kes SRC International.

najib razak
Bekas perdana menteri Najib Razak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak memohon hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM11.39 bilion terhadap bekas perdana menteri itu atas kesalahan salah guna kuasa.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib turut memohon agar hukuman penjara tersebut bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman sedia ada bagi kes SRC International melibatkan dana RM42 juta.

Dalam kes SRC International, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun. Beliau dijadualkan dibebaskan pada 2028.

Terdahulu hari ini, mahkamah mendapati Najib bersalah atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 hingga Dis 2014.

Pihak pendakwaan juga memohon hukuman penjara serentak selama 20 tahun terhadap Najib bagi empat pertuduhan rasuah.

Akram berkata denda RM11.39 bilion bagi empat tuduhan salah guna kuasa seperti diperuntukkan undang-undang, iaitu mereka yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah berdepan denda sebanyak lima kali ganda jumlah suapan.

Beliau berkata jumlah yang terlibat dalam kes 1MDB ini ialah RM2.28 bilion.

Sementara itu, hukuman penjara yang dipohon bagi 21 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) adalah kurang daripada 15 tahun.

Akram berkata kes ini adalah yang pertama seumpamanya kerana Najib merupakan bekas perdana menteri dan jumlah yang terlibat adalah berbilion ringgit.

“Kami berharap tidak akan ada lagi kes seperti ini dalam sejarah Malaysia,” tambahnya.

Akram turut menyebut bahawa kerajaan, setakat hari ini, terpaksa menanggung hutang 1MDB yang berjumlah RM50 bilion.

“Kerajaan menyatakan di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa kita telah membayar RM42 bilion dan berjaya mendapatkan semula RM29 bilion.”

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Akram juga memohon mahkamah mengenakan penalti bersamaan nilai hasil daripada aktiviti haram yang telah dilupuskan atau tidak dapat dikesan sebagai suatu jumlah yang boleh dipulihkan.

Beri belas ihsan pada Najib, rayu Shafee

Sementara itu, peguam Najib, Shafee Abdullah, merayu hakim supaya menunjukkan belas ihsan terhadap anak guamnya.

Beliau berhujah bahawa tiada bukti menunjukkan Najib menggunakan dana yang disalahgunakan itu untuk kemewahan peribadi.

“Sebahagian besar dana berkenaan digunakan untuk aktiviti politik, sosial dan kebajikan di bawah kerangka Barisan Nasional.

“Manakala perbelanjaan peribadi adalah berkaitan dengan tanggungjawab rasmi sebagai perdana menteri,” katanya.

Shafee menambah Najib secara sukarela memulangkan USD620 juta, hampir keseluruhan jumlah ‘sumbangan’ yang diterima (USD681 juta), menunjukkan tiada motif keuntungan dan menyokong kepercayaan bona fide Najib terhadap kesahihan transaksi tersebut.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Najib telah menunjukkan rasa kesal yang mendalam dan tulus berhubung skandal 1MDB.

Beliau merujuk kepada sepucuk surat yang ditulis Najib di Penjara Kajang, yang dibacakan anaknya, Nizar Najib, pada sidang media pada 24 Okt tahun lalu.

Dalam surat itu, Najib mengakui bahawa beliau berasa amat perit setiap hari mengetahui skandal 1MDB berlaku ketika beliau memegang jawatan sebagai menteri kewangan dan perdana menteri, serta memohon maaf tanpa syarat kepada rakyat Malaysia.

“Permohonan maaf ini dibuat secara sukarela, tanpa sebarang syarat, dan mencerminkan penyesalan yang ikhlas serta pertanggungjawaban moral.

Shafee juga merayu hukuman yang dikenakan berjalan serentak dengan hukuman yang sedang dijalani Najib, dengan berhujah bahawa kesalahan-kesalahan tersebut timbul daripada matriks fakta yang sama dan merupakan sebahagian daripada satu transaksi berterusan.

Untuk mengenakan hukuman yang berjalan berasingan, Shafee berkata, ia umpama hukuman berganda terhadap set fakta yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.