
Adun Skudai itu berkata, sifat itu ada pada ibunya dan sebuah motosikal yang dimilik menjadi saksi dengan menghantar sesiapa sahaja, tanpa mengira kaum atau agama, bagi membeli barangan keperluan untuk pelbagai perayaan atau urusan hal peribadi.
Mengimbas kembali kisah ibunya yang mahu dikenali sebagai Arbiah, Marina berkata, ibunya sering menumpangkan kanak-kanak ke sekolah atau pulang dari sekolah.
“Setiap kali dia melihat kanak-kanak berjalan kaki ke sekolah, dia hentikan motosikal dan mengajak mereka naik sekali. Sebahagian daripada kanak-kanak ini ialah daripada komuniti India yang tinggal di estet berhampiran rumah kami,” katanya kepada FMT.
Menurut Marina, sikap ibunya yang tidak pernah berprasangka kepada sesiapa disemai daripada latar belakang kehidupannya.
Wanita berusia 67 tahun itu, yang lebih dikenali sebagai ‘Kak B’ itu, dibesarkan di sebuah ladang di Yong Peng, Perak dan dikelilingi masyarakat pelbagai kaum dan agama. Beliau berkhidmat sebagai penjawat awam hingga bersara.
“Disebabkan latar belakang itu, ibu saya tidak pernah berasa janggal untuk bersama sesiapa sahaja, tanpa mengira kaum atau agama,” kata Marina.
Sifat pemurah Kak B, yang menghantar rakan-rakannya ke mana-mana dengan motosikalnya membuktikan hidup bersama secara aman boleh dicapai dalam masyarakat berbilang kaum.
Dalam satu hantaran Facebook, Marina berkata ibunya akan membawa rakan-rakan Kristian untuk membeli-belah sempena Krismas. “Dan apabila Tahun Baharu Cina tiba, dia akan membawa rakan-rakannya membeli pakaian baharu dan makanan,” tulis Marina.
Kemurahan hati ibunya itu meninggalkan kesan mendalam terhadap Marina, yang berazam untuk mengamalkan nilai-nilai yang diturunkan oleh Arbiah, seorang Muslimah yang taat.
“Ibu saya solat, membaca al-Quran dan bertudung, tetapi dia tidak pernah segan untuk bersama bukan Islam. Bagi dia, berada bersama bukan Islam tidak menjadikan dia kurang Islam,” kata Marina.
“Dia selalu mengingatkan saya bahawa jika kita ada iman, tiada apa yang boleh menggugatnya, walaupun berada di sekeliling bukan Islam atau menghadiri majlis yang mereka anjurkan.”
Hasil daripada didikan itu, Marina kini berkongsi didikan Arbiah mengenai bagaimana hidup dalam masyarakat majmuk.
“Saya sudah letih melihat bagaimana orang cenderung melihat segala-galanya melalui lensa perkauman dan agama sejak kebelakangan ini,” katanya.
Mesej Marina disuarakan di tengah-tengah bantahan terhadap pelantikan rakan separtinya, Hannah Yeoh, sebagai menteri wilayah persekutuan, serta dakwaan larangan hiasan Krismas di restoran sijil halal di Melaka.
“Hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama memerlukan kita saling menghormati. Mujurlah, masih ramai orang di luar sana yang sama seperti ibu saya,” tambah Marina.