Hukum ibu bapa eksploitasi anak di media sosial, pakar gesa tunjuk keseriusan

Hukum ibu bapa eksploitasi anak di media sosial, pakar gesa tunjuk keseriusan

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim, amat bimbang kanak-kanak yang terdedah kepada eksploitasi akan lama-kelamaan 'ketagihan'.

abuse
Ibu bapa bertanggungjawab terhadap kandungan melibatkan kanak-kanak yang dihasilkan mereka, tegas pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Penganalisis jenayah menggesa tindakan tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang menghasilkan kandungan berunsur seksual melibatkan kanak-kanak, bagi meunjukkan keseriusan menangani eksploitasi.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim, menggesa siasatan bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak dan yang berkaitan, di samping penurunan kandungan dan sekatan akaun orang dewasa terlibat.

Beliau menegaskan kebimbangannya adalah kanak-kanak yang terdedah kepada eksploitasi akan lama-kelamaan ‘ketagihan’.

“Ini kita bimbang sangatlah. Anak-anak tak tahu apa-apa tapi bila sudah ditunjuk ajar dan pun dah tahu, lama-lama makin besar, itu akan akan jadi rosak akidah dan moral anak-anak itu,” katanya kepada FMT.

Shahul mengulas tentang tindakan ibu bapa membuat kandungan media sosial membabitkan kanak-kanak lelaki yang dipakaikan pakaiwan wanita serta berunsur seksual ringan, yang ditimbulkan dalam hantaran oleh seorang bekas guru, Mohd Fadli Salleh.

Kandungan tersebut mencetuskan amarah warga net, yang menyifatkan tindakan ibu bapa berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab. Semakan FMT mendapati video tersebut telah dipadam.

Shahul berkata ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan-kandungan melibatkan kanak-kanak yang dihasilkan mereka, membidas golongan yang memberikan alasan ‘kemahuan anak’ untuk melindungi diri.

“Kandungan yang dihasilkan menjerumus kepada eksploitasi seksual wajar disiasat. Ini dengan jelas untuk menjaga kepentingan anak-anak,” katanya.

Shahul turut mengingatkan bahawa terdapat ibu bapa yang menghasilkan kandungan untuk pendapatan, khususnya apabila ia berunsur seksual.

“Ini amat membimbangkan walaupun dilakukan atas alasan hiburan ataupun dipanggil trend media sosial atau sumber rezeki, tindakan ini tetap meletakkan kanak-kanak di bawah situasi yang bahaya dan berisiko, dan melanggar hak-hak mereka untuk dilindungi daripada eksploitasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.