RimbaWatch fail semakan kehakiman terhadap 2 kementerian

RimbaWatch fail semakan kehakiman terhadap 2 kementerian

Badan pemantau alam sekitar itu mendakwa kementerian terbabit gagal melaksanakan ‘pengawasan mencukupi’ untuk tangani kebimbangan terhadap pengiklanan berkaitan bahan api fosil.

kl high court
RimbaWatch menyaman Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup atas keengganan mereka menyiasat aduan berhubung amalan ‘greenwashing’ oleh sebuah syarikat bahan api fosil.
PETALING JAYA:
Badan pemantau alam sekitar, RimbaWatch memfailkan semakan kehakiman terhadap dua kementerian dengan mendakwa mereka gagal menyiasat dan membendung potensi amalan “greenwashing” dalam pengiklanan bahan api fosil serta tidak melaksanakan “pengawasan mencukupi” sejajar piawaian antarabangsa.

Tindakan undang-undang terhadap Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Mahkamah Tinggi minggu lalu itu dilaporkan sebagai kes litigasi iklim pertama seumpamanya di Malaysia.

RimbaWatch berkata, pihaknya mengemukakan aduan kepada dua kementerian pada 20 Sept lalu berhubung pemasaran sebuah syarikat bahan api fosil yang mendakwa produknya berasaskan bahan api fosil sebagai “neutral karbon”, dakwaan dianggap mengelirukan.

“Kami mengemukakan aduan kepada kementerian ini kerana KPDN mewakili agensi di bawah menteri yang dilantik untuk melindungi pengguna, manakala NRES mewakili agensi di bawah menteri yang dilantik untuk mencegah pencemaran dan melindungi alam sekitar.

“Kami berpendapat jika dakwaan ini benar-benar mengelirukan seperti yang kami percaya, ia boleh menjejaskan kepentingan perlindungan pengguna dan iklim,” katanya dalam kenyataan.

Pada 30 Sept lalu, KPDN memaklumkan kepada RimbaWatch bahawa aduan itu di luar bidang kuasanya dan perlu dikemukakan kepada NRES.

Pada hari sama, NRES pula meminta RimbaWatch mengemukakan aduan itu kepada KPDN.

Kumpulan itu berkata, keputusan kedua-dua kementerian itu bahawa aduan terbabit di luar bidang kuasa mereka tidak tepat.

“Kesannya, seolah-olah tiada agensi kerajaan yang diberi kuasa untuk menyiasat pengiklanan atau dakwaan pemasaran yang berpotensi mengelirukan berkaitan perlindungan iklim.

“Justeru, kami memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar dua keputusan itu.”

RimbaWatch berkata, kes terhadap NRES akan didengar 21 Jan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.