Ada jawatan atau tidak, MIC terus berkhidmat demi komuniti

Ada jawatan atau tidak, MIC terus berkhidmat demi komuniti

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, misi perjuangan parti itu 'melampaui' pelantikan politik.

M Saravanan
Timbalan Presiden MIC M Saravanan memaklumkan, CWC akan bersidang bagi menentukan hala tuju parti.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden MIC M Saravanan menegaskan, parti itu akan terus berkhidmat kepada masyarakat India, tidak kira sama ada mereka memegang jawatan menteri dalam pentadbiran sedia ada atau pun tidak.

Beliau berkata, misi perjuangan parti melampaui kepentingan jawatan politik.

“Sama ada dapat jawatan dalam kerajaan atau tidak, MIC akan tetap berkhidmat kepada komuniti India dengan penuh ikhlas dan tekad,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab kritikan yang dilemparkan terhadap MIC susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, MIC dilaporkan seolah-olah memberi gambaran akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menyertai gabungan pembangkang selepas mendakwa tidak dilayan dengan adil oleh Umno.

Saravanan sendiri pernah menyatakan bahawa parti itu merasa terpinggir dan seakan-akan menjadi ‘tetamu tidak diundang’ dalam kerajaan perpaduan.

Beliau sebelum ini turut meluahkan rasa kesal kerana MIC tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan, termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), walaupun tokoh politik kanan seperti beliau menjadi pemimpin parti.

Pada November lepas, perwakilan MIC pada Perhimpunan Agung Tahunan meluluskan resolusi untuk menyerahkan keputusan kepada presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sama ada parti itu perlu kekal dalam BN atau meninggalkannya.

Semalam, FMT menyiarkan surat daripada seorang pembaca yang membangkitkan persoalan mengenai masa depan MIC memandangkan parti itu langsung tidak dipertimbangkan dalam rombakan Jemaah Menteri baru-baru ini, selain mempersoalkan hala tuju rancangan besar mereka setelah Muhyiddin tidak lagi menerajui PN.

Saravanan hari ini memaklumkan bahawa CWC akan bersidang bagi menentukan hala tuju parti bagi memastikan strategi yang dirangka kekal selari dengan keperluan semasa komuniti yang sentiasa berubah.

“MIC akan terus bergerak berlandaskan amanah, ihsan dan integriti. Fokus utama kami adalah untuk memberikan manfaat yang nyata serta menjunjung tanggungjawab kami terhadap rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat India di Malaysia terus bersatu padu, menyifatkan perpaduan sebagai kunci utama kepada kejayaan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.