
Kamaruddin berkata, Wan Fayhsal sepatutnya bermuhasabah selepas dipecat Bersatu dan menghormati ahli parti itu serta pengundi Machang yang membantu beliau menang pada PRU15.
“Beliau tidak seharusnya terus mengkritik parti selepas dipecat. Sepatutnya beliau muhasabah diri,” katanya kepada FMT.
“Kehadirannya di Machang tidak memberi nilai tambah, sebaliknya hanya nilai tolak. Rata-rata rakyat di Machang kecewa terhadap Wan Fayhsal kerana beliau jarang turun padang dan tidak mendekati rakyat.”
Wan Fayhsal antara wakil rakyat dipecat daripada Bersatu berhubung krisis kepimpinan parti itu susulan desakan agar Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai presiden.
Turut dipecat, bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Wan Saiful Wan Jan serta Saifuddin Abdullah.
Mengulas lanjut, Kamaruddin turut menolak dakwaan bekas ketua Pemuda Bersatu itu masih mempunyai sokongan kuat di Machang.
“Tiada satu pun kepimpinan Bersatu di Machang yang mengikut dia (Wan Fayhsal) untuk sertai parti baharu. Yang tinggal semua kepimpinan yang berwibawa dan setia kepada Bersatu.
“Bukan parti tiada nilai pada akar umbi, tetapi kebanyakan pengundi di Machang sudah hilang kepercayaan terhadap beliau,” katanya.
Kamaruddin turut mendakwa Wan Fayhsal masih tidak mempunyai hala tuju politik jelas selepas dipecat daripada Bersatu.
Beliau berkata, kebanyakan pemimpin Bersatu dipecat dan digantung kerana melanggar perlembagaan parti dan ingin mengusir secara paksa Muhyiddin ‘di rumahnya sendiri ‘.
“Beliau sehingga kini masih tiada parti dan tidak sepatutnya mengkritik Bersatu dengan mengatakan parti itu tiada nilai pada akar umbi,” katanya.