Pertahan tindakan pecat, Bersatu bertindak berdasarkan ‘bukti’

Pertahan tindakan pecat, Bersatu bertindak berdasarkan ‘bukti’

Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Lembaga Disiplin bertindak secara profesional, bebas dan adil, tak kira status.

Tun Faisal Ismail
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beberapa ahli Bersatu yang dipecat atau digantung baru-baru ini tentang keputusan parti secara terbuka dan serang pemimpinnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bersatu mempertahankan tindakan disiplin terhadap sekumpulan pemimpinnya baru-baru ini, menegaskan bahawa ahli yang dipecat atau digantung telah disiasat berdasarkan aduan yang disokong oleh ‘bukti bergambar, video atau kenyataan saksi’.

Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata, lembaga disiplin parti bertindak secara profesional, bebas dan adil, tanpa mengira status ahli dalam parti.

“Setiap pihak yang diadukan, diberi peluang untuk membela diri dan menyatakan sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Adun PAS Tengku Fakhruddin Fauzi, yang mendakwa pemimpin Bersatu ‘disembelih’ seorang demi seorang demi mengekalkan kuasa.

Tambahnya, jika keadaan ini berterusan, lebih baik bagi Bersatu untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Bersatu memecat Timbalan Speaker DUN Kelantan Farid Zawawi dan Exco Pemuda Bersatu Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin. Parti itu turut menggantung Ahli Parlimen Mersing Islahuddin Abas dan Adun Bukit Bunga Almidi Jaafar selama dua penggal.

Tun Faisal berkata, bukan semua yang didakwa melakukan salah laku dipecat, sebaliknya menjelaskan bahawa ada yang digantung manakala sebahagian lagi diberikan amaran.

“Jenis kesalahan dan tahap kesalahan mereka juga berbeza,” katanya.

Beliau berkata, aduan yang diterima termasuk dakwaan pelanggaran perlembagaan serta kod etika parti, termasuk menentang keputusan parti secara terbuka, menyerang pemimpin parti di media sosial, dan mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan imej parti.

“Adakah (Tengku Fakhruddin) akan melindungi mereka yang merasuah dan cuba merasuah, atau yang membuat rundingan haram tanpa mandat yang mengkhianati kepentingan parti, atau yang melanggar baiah dan sumpah atas nama Allah untuk patuh kepada perlembagaan dan arahan parti?” soalnya.

Tambahnya, proses tatatertib Bersatu mengambil masa yang lebih lama berbanding Umno atau PKR kerana siasatan dijalankan oleh Lembaga Disiplin, sedangkan dalam dua parti itu, penggantungan dan pemecatan diputuskan secara terus oleh majlis kepimpinan tertinggi.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Radzi Manan berkata, mereka yang terbabit dipecat atau digantung kerana melanggar perlembagaan serta kod etika dan tatalaku parti. Pemimpin-pemimpin terbabit boleh memfailkan rayuan dalam tempoh dua minggu.

Timbalan Ketua Pemuda Faiz Rahmad, Timbalan Speaker DUN Kedah merangkap Adun Sungai Tiang Abdul Razak Khamis dan Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani dipecat minggu lepas.

Tujuh pemimpin lain yang turut digantung terdiri daripada Adun Perak Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Syed Lukman Hakim Syed Zin (Chenderoh), serta Ahli Parlimen Perak Nordin Ahmad Ismail (Lumut); Ahli Parlimen Pahang Khalib Abdullah (Rompin); Ahli Parlimen Kelantan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Khlir Nor (Ketereh); serta Ahli Parlimen Terengganu Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.