IWK perkukuh tenaga mahir pembetungan melalui Astrice

IWK perkukuh tenaga mahir pembetungan melalui Astrice

Asian Sewerage Training, Research & Innovation Centre menawarkan latihan berasaskan gabungan teori dan praktikal, merangkumi aspek teras pengurusan sistem pembetungan.

Astrice
Pusat latihan teknikal IWK yang ditubuhkan sejak Februari 2006, kini dikenali sebagai Asian Sewerage Training, Research & Innovation Centre (Astrice).
PETALING JAYA:
Keperluan memperluas kemahiran dalam sektor pembetungan menjadi semakin kritikal ketika industri itu berkembang pesat, dipacu teknologi dan kaedah rawatan yang semakin kompleks.

Bagi memastikan sistem pembetungan negara kekal berkesan dan berupaya memenuhi keperluan masa hadapan, pembangunan tenaga kerja mahir dilihat sebagai faktor utama untuk menjamin kelangsungan operasi pada tahap optimum.

Justeru, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengambil langkah proaktif memperkukuh kemahiran dan kompetensi kakitangan serta pemain industri melalui penubuhan pusat latihan teknikal sejak Februari 2006, yang kini dikenali sebagai Asian Sewerage Training, Research & Innovation Centre (Astrice).

Astrice menawarkan latihan berasaskan gabungan teori dan praktikal, merangkumi aspek teras pengurusan sistem pembetungan. Sejak penubuhannya, pusat itu berfungsi sebagai platform utama dalam menyokong pertumbuhan tenaga mahir negara khususnya dalam sektor pembetungan.

Pada masa sama, ia turut menyokong aspirasi IWK untuk mengembangkan perkhidmatan perunding menerusi Management and Technical Advisory Service (MTSA), dengan kedua-dua komponen latihan dan perundingan dianggap saling melengkapi bagi memperkukuh keupayaan teknikal serta pembangunan kompetensi organisasi.

Ketua Pegawai Korporat IWK, Azuan Ahmad Zahdi, berkata Astrice bukan sekadar pusat latihan, sebaliknya berperanan sebagai pemacu pembangunan kapasiti yang menyokong perkhidmatan MTSA.

Astrice IWK
Selain melatih kakitangan dalaman, Astrice turut menarik penyertaan peserta antarabangsa serta industri di luar sektor pembetungan.

“Selain melatih kakitangan dalaman, Astrice turut menarik penyertaan peserta antarabangsa serta industri di luar sektor pembetungan.

“Program ditawarkan merangkumi aspek teknikal dan bukan teknikal seperti keselamatan dan kesihatan pekerjaan, hubungan pelanggan, pengurusan operasi serta teknologi baharu, sejajar keperluan industri semasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pendekatan menyeluruh menerusi latihan, seminar dan sesi perkongsian ilmu membolehkan Astrice berfungsi sebagai platform pemindahan pengetahuan, sekali gus menyokong visi IWK sebagai ‘syarikat air sisa terunggul’.

“Menerusi ekosistem pembelajaran ini, IWK bukan sahaja membangunkan bakat dalaman berkeupayaan tinggi, malah memperkukuh kedudukan sebagai penyedia perkhidmatan perunding yang berwibawa di peringkat serantau,” katanya.

Astrice IWK
Pendekatan menyeluruh menerusi latihan, seminar dan sesi perkongsian ilmu membolehkan Astrice berfungsi sebagai platform pemindahan pengetahuan.

Seiring perubahan teknologi, Astrice turut meneroka penggunaan realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pendekatan latihan masa hadapan. VR berpotensi menyediakan simulasi dunia sebenar yang lebih interaktif, realistik dan selamat, manakala AI pula menyokong pembelajaran berasaskan data melalui analisis prestasi, simulasi senario serta cadangan penambahbaikan lebih pantas dan pintar.

Pembangunan modal insan kompeten kekal sebagai teras kecemerlangan perkhidmatan pembetungan negara, dengan inisiatif berterusan melalui Astrice dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi membolehkan industri menghadapi perubahan teknologi, automasi dan keperluan operasi yang semakin dinamik.

Kini, Astrice terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat rujukan serantau dalam industri pembetungan. Melalui program mentor IWK bersama utiliti Perumda PALD Banjarmasin dari Indonesia serta Baguio City Environment and Parks Management Office dari Filipina, pusat itu berperanan sebagai platform pemindahan pengetahuan dan mempromosikan keupayaan IWK melaksanakan latihan bertaraf antarabangsa.

Astrice adalah penyedia latihan berdaftar bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp), dengan semua program latihan layak dituntut melalui Skim Bantuan Latihan Khas (SBL-Khas).

Maklumat lanjut dan prapendaftaran kursus boleh didapati menerusi laman web rasmi Astrice di https://astriceiwk.carrd.co.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.