
Beliau menyifatkan pencapaian tersebut sebagai amat membanggakan, selain merakamkan penghargaan atas komitmen serta kemajuan yang dizahirkan oleh IWK sepanjang sedekad lalu.
“IWK telah membuktikan kredibiliti dalam mentransformasikan sistem pembetungan negara ke arah tahap yang lebih moden, cekap dan mampan selaras dengan aspirasi negara bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta memelihara kelestarian alam sekitar secara holistik,“ katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya turut dapat menyaksikan sendiri kecekapan proses rawatan kumbahan yang memenuhi piawaian keselamatan sebelum dilepaskan semula ke punca air, melalui lawatan fizikal ke Loji Rawatan Kumbahan Awam di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) semalam.
Tambahnya, PAC juga didedahkan dengan gambaran keseluruhan pengoperasian yang merangkumi penyelenggaraan loji-loji rawatan, prestasi, serta cabaran yang dihadapi industri menerusi sesi taklimat.
“PAC juga telah dimaklumkan mengenai strategi, inisiatif utama dan peranan IWK dalam menyokong Ekonomi Kitaran serta ‘Water Sector Transformation’ (WST) 2040 demi kelestarian negara, diakhiri dengan penerangan mengenai pensijilan dan pengiktirafan yang telah diraih.
“PAC berharap agar IWK terus konsisten dalam memperkasakan tadbir urus dan kecekapan operasi bagi mendepani cabaran industri air dan pembetungan di masa hadapan,” katanya