
Ketuanya, Jefry Safry, PN Melaka sedang memberi tumpuan penuh dalam melaksanakan perancangan bagi menghadapi PRN justeru persiapan akan terganggu jika pengerusinya meletak jawatan.
“Jika pengerusi PN Melaka meletak jawatan sekarang, hal ini akan merencatkan organisasi PN Melaka serta mengganggu persiapan menghadapi PRN Melaka.”
“Ini secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada pihak lawan,” menurut kenyataan.

Penggal DUN Melaka akan berakhir pada Disember 2026.
Kempen PN Melaka pada PRN 2021 menyaksikan gabungan itu menambah kerusi daripada satu kepada tiga, di sebalik dominasi Barisan Nasional yang meraih 20 kerusi.
Semalam, Ermieyati mempertahankan keputusan untuk kekal sebagai pengerusi PN negeri ketika rakan sejawatan di Perak, Selangor, Johor dan Sarawak melepaskan jawatan, susulan pengunduran Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN.
Ermieyati berkata PN Melaka kini sedang berada dalam fasa persiapan penting menghadapi PRN yang dijangka dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.
Beliau bagaimanapun menegaskan beliau sedia melepaskan jawatan sekiranya itu keputusan bersama yang akan dibuat secara matang berlandaskan kepentingan parti dan gabungan.
Sahruddin Jamal (Johor), Azmin Ali (Selangor), Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan), Ahmad Faizal Azumu (Perak), dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak) masing-masing berundur selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan, yang berlatarkan kemelut politik di Perlis.
Hanifah beritahu FMT bahawa peletakan jawatan itu akan memudahkan pengerusi baharu membuat aturan tersendiri kelak.