
Presiden MMA, Dr R Thirunavukarasu, berkata kajian tersebut, yang perlu merangkumi kapasiti sumber manusia, pengurusan beban kerja dan kecekapan sistem adalah penting bagi memastikan kelewatan sedemikian tidak berulang.
Menurutnya, MMA menyokong sepenuhnya perancangan MMC untuk memperkukuh dan mempercepatkan transformasi digital sistem APC ke arah platform masa nyata yang telus dan mesra pengguna.
Thirunavukarasu berterima kasih kepada MMC atas penjelasan yang dikeluarkan awal hari ini bahawa doktor yang telah memenuhi keperluan utama APC — termasuk perlindungan indemniti profesional yang sah, melengkapkan mata merit ‘pembangunan profesional berterusan’ (CPD) serta membuat pembayaran yuran — dibenarkan meneruskan amalan sementara menunggu pengeluaran fizikal APC mereka.
“Ia tepat pada masanya dan melegakan, khususnya bagi mereka yang berada dalam perkhidmatan kesihatan swasta,” kata Thirunavukarasu.
“Kami juga mengalu-alukan komitmen tegas MMC untuk menyelesaikan semua pengeluaran APC yang tertunggak selewat-lewatnya pada 31 Januari.
“Jaminan ini melegakan ramai pengamal yang sebelum ini berada dalam ketidakpastian dan menghadapi tekanan daripada pihak hospital, rakan kongsi farmaseutikal dan pentadbir insurans, khususnya berkaitan isu liabiliti.”
Beliau berkata MMA kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan MMC dan Kementerian Kesihatan bagi memperkukuh proses kawal selia, melindungi profesion perubatan, serta memastikan penyampaian rawatan yang berterusan, beretika dan berkualiti tinggi kepada semua pesakit.
Terdahulu hari ini, MMC memohon maaf atas kelewatan memproses dan mengeluarkan APC berikutan ‘peningkatan mendadak’ jumlah permohonan yang diterima pada penghujung tahun lalu, termasuk permohonan yang dokumen sokongannya diterima lewat.
MMC turut memaklumkan bahawa langkah-langkah perlu akan diambil bagi memastikan isu tersebut tidak berulang.
Di bawah Akta Perubatan 1971, adalah menjadi satu kesalahan bagi doktor untuk mengamalkan perubatan tanpa APC yang sah.