
Ketua Penerangan, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif Pemuda Umno menganjurkan konvensyen khas, namun menegaskan program itu bukan pendirian muktamad parti.
“Konvensyen tersebut hanyalah sebahagian daripada proses dalam hierarki penentuan hala tuju parti dan bukan keputusan keseluruhan Umno,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua pandangan dan input perlu dinilai menerusi saluran rasmi parti termasuk biro politik, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung Umno, selaras amalan sebuah parti politik yang matang.
Shaiful turut mengingatkan, kenyataan berkaitan hala tuju politik negara dibuat secara berhemah dan teratur, kerana tindakan terburu-buru tanpa pertimbangan menyeluruh berisiko mengelirukan rakyat serta menjejaskan keyakinan terhadap kestabilan politik.
Selain itu, Umno Kedah berpandangan parti tidak wajar terheret dalam usaha menampung atau menyelamatkan krisis dalaman mana-mana parti lain, sambil menegaskan keputusan tidak boleh dipengaruhi sentimen atau kepentingan kelompok tertentu.
“Keutamaan Umno adalah memperkukuh parti sendiri dan menjaga kepercayaan akar umbi,” katanya.
Shaiful berkata, pihaknya yakin kebijaksanaan presiden parti bersama biro politik dan MKT akan menentukan hala tuju terbaik Umno berdasarkan pertimbangan jangka panjang serta realiti politik semasa.
Semalam, berlangsung konvensyen khas Pemuda Umno bagi membincangkan hala tuju parti serta kedudukannya dalam kerajaan perpaduan.
Dalam konvensyen itu, Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh secara terbuka menyeru kepimpinan tertinggi parti mempertimbangkan kerjasama dengan PAS, sambil menegaskan Umno tidak perlu gentar untuk kembali menjadi pembangkang demi kelangsungan survival Melayu-Islam.
Hari ini, Akmal mempertahankan pendirian sayap itu supaya parti menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).
Katanya, pendirian Pemuda Umno dalam konvensyen khas sayap itu adalah suara majoriti akar umbi, bukan dibuat atas kapasiti individu.