
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan, memaklumkan mayat Awang Ismail Awang Rosidi, 28, ditemukan oleh orang awam kira-kira 8.50 pagi pada jarak lebih kurang 800 meter dari pesisiran pantai.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Mukah bagi tujuan bedah siasat.
“Operasi SAR melibatkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dengan bantuan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebuah kenderaan Hilux dan sebuah bot itu ditamatkan sepenuhnya pada 9.40 pagi,” menurut kenyataan itu.
Turut terlibat dalam operasi itu ialah tiga anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebanyak lima anggota dengan sebuah bot dan 30 penduduk kampung menggunakan 10 bot.
Sementara itu, Ketua Polis Dalat, Saga Chunggat, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada ahli keluarga pada 9.08 pagi semalam, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada JBPM Mukah dan APM Dalat.
“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai apabila bot yang dipandunya seorang diri terlanggar kayu hanyut dalam kejadian berhampiran Muara Batang Oya kira-kira 7.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.