
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah demikian selepas berkenaan menerima undangan ke Ladang Gano Excel di Kampung Cherok Mokkan, Mukim Hosba, Kedah.
Keberangkatan tiba baginda disambut pengasas dan Presiden Gano Excel International, Leow Soon Seng, serta pengasas bersama merangkap Pengarah Eksekutif, Leow Soon Kiak.
Pada taklimat dipersembahkan kepada baginda, Soon Seng memaklumkan operasi syarikat berkenaan merangkumi lebih 100 rumah hijau khas, masing-masing berkapasiti sehingga 30,000 bongkah tanaman bagi memastikan pengeluaran berskala besar dan konsisten untuk pasaran global.
Syed Faizuddin Putra turut berkenan melawat fasiliti pemprosesan syarikat, termasuk makmal kawalan kualiti, mikrobiologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta analisis kimia, bagi memastikan setiap produk diuji dan dipantau secara saintifik sebelum dipasarkan.
Sebagai peneraju dalam industri imunologi pemakanan berasaskan Ganoderma, Gano Excel memiliki prasarana bertaraf antarabangsa yang mematuhi piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), selain diperakui di bawah Skim Organik Malaysia (myOrganic).
Syarikat itu turut menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk pemeriksaan Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat.