
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata adalah tidak rasional bagi Presiden Umno Zahid Hamidi untuk melayan gesaan sedemikian.
Menurutnya, Umno jelas tidak bersedia menghadapi PRU mengejut ketika ini, lebih-lebih lagi dengan PRN Melaka dan Johor yang dijangka berlangsung tahun ini dan awal tahun hadapan.
Hisommudin berkata jentera Umno berada dalam keadaan lemah dan sebarang usaha untuk menghidupkan semula pakatan pilihan raya Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama PAS pada 2019 hanya akan terus melemahkan parti itu.
“Krisis politik Perlis dan dominasi PAS dalam Perikatan Nasional membuktikan bahawa sukar bagi Umno untuk ke meja rundingan dari kedudukan yang lemah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, jika MN benar-benar dihidupkan semula, kerusi-kerusi Melayu akan terbahagi antara Umno dan PAS. Namun, jika Umno kekal bersama Pakatan Harapan (PH), parti itu berpotensi diberikan majoriti kerusi Melayu pada PRU akan datang.
“Ini bermakna mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk merampas kerusi daripada PAS dan Bersatu,” katanya.
Hisommudin berkata walaupun retorik yang menggesa Umno meninggalkan kerajaan perpaduan akan semakin lantang menjelangnya Perhimpunan Agung Umno, ia tidak akan membawa ke mana-mana.
Kepimpinan Umno memahami bahawa keluar daripada kerajaan perpaduan akan meletakkan mereka dalam keadaan serba salah. “Mereka sama ada menjadi rakan sekutu kelas kedua kepada PAS dalam gabungan pembangkang atau berisiko terpinggir. Kedua-duanya bukan pilihan yang menarik.”
Menurutnya, gesaan untuk menarik diri daripada kerajaan persekutuan akan reda apabila realiti politik diambil kira oleh kepimpinan parti.
Bagaimanapun, Zahid perlu memberi perhatian serius terhadap gesaan Pemuda Umno kerana ia boleh memberi tekanan kepadanya sekiranya ahli akar umbi sehaluan dengan Akmal, kata Hisommudin.
Semalam, Akmal menggesa Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan mengambil peranan sebagai pembangkang, dengan mendakwa berlakunya pelanggaran berulang terhadap ‘garis merah’ yang melibatkan Islam, orang Melayu dan institusi raja-raja.