
Kementerian menegaskan, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut, yang menurutnya tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar tentera yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu tular dakwaan di media sosial anggota tentera membawa masuk individu luar untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral di dalam kem, termasuk acara-acara hiburan dalam suasana seolah-olah kelab malam.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi kementerian dan tentera.
“Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.”