
Pengarah Eksekutifnya, Hisomuddin Bakar, berkata pembentangan oleh Mujibu Muis mencerminkan pandangan peribadi individu berkenaan dan tidak mewakili dapatan rasmi, pendirian institusi atau analisis berasaskan data Ilham Centre.
“Segala maklumat, tafsiran dan kesimpulan yang dibentangkan adalah tanggungjawab sepenuhnya pembentang dan tidak boleh dianggap sebagai laporan, kajian atau kenyataan rasmi Ilham Centre,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Hisomuddin turut menegaskan bahawa sebarang rujukan kepada dapatan rasmi Ilham Centre hanya sah apabila dikeluarkan melalui saluran komunikasi yang diberi kuasa oleh institusi itu, termasuk laporan rasmi, kenyataan media atau pembentangan yang dimandatkan oleh pihak pengurusan.
Bagaimanapun, katanya, organisasi itu menghormati kebebasan bersuara serta kepelbagaian pandangan akademik dan analisis yang dikemukakan oleh panel jemputan dalam platform wacana awam.
Penjelasan itu susulan pembentangan satu tinjauan oleh Mujibu pada konvensyen berkenaan, yang melibatkan 1,800 responden dan mendakwa hanya 15% responden Melayu sanggup menerima kerjasama antara Umno dan DAP, manakala 62% menolaknya dengan keras.
Ketua Penerangan Umno, Azalina Othman Said, mempertikaikan kaji selidik itu dengan mempersoalkan identiti serta kredibiliti responden yang dirujuk bagi menyokong gesaan supaya parti menarik diri daripada kerajaan perpaduan.
Konvensyen khas itu menyaksikan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh secara terbuka menggesa kepimpinan tertinggi parti supaya menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan, menerima PAS sebagai sekutu baharu, serta tidak takut untuk kembali menjadi pembangkang.