Lelaki ditahan simpan syabu lebih RM350,000 dalam kereta

Lelaki ditahan simpan syabu lebih RM350,000 dalam kereta

Pengarah Kastam Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata 11kg syabu bernilai RM352,992 itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

Wan Norizan Wan Daud
Pengarah Kastam Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata pemilik kereta dalam lingkungan 30-an ditahan dan pihaknya sedang menyiasat sama ada Perodua Bezza itu disewakan kepada individu lain. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan dan syabu bernilai lebih RM350,000 disimpan dalam sebuah kereta diparkir di kawasan pangsapuri Taman Desa Petaling, Selangor, dirampas baru-baru ini.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, berkata sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerusi serbuan kira-kira 3 pagi menemui bungkusan dalam dua beg runcit berisi bahan berbentuk kristal disyaki syabu di tempat duduk belakang sebuah Perodua Bezza.

Menurutnya, syabu seberat 11.031kg bernilai RM352,992 itu dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang merupakan pemilik kenderaan ditahan untuk membantu siasatan, manakala kereta itu turut disita,” katanya menurut Sinar Harian di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di sini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan suspek atau mengesan sama ada Perodua Bezza itu disewakan kepada individu lain.

Jelasnya, syabu itu dipercayai dibawa masuk dari negara lain sebelum dijual secara kecil-kecilan dan taktik menyimpan dadah dalam kereta di parkir awam bertujuan mengelak kecurigaan penduduk setempat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat bagi membantu Jabatan Kastam memerangi kegiatan penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.