
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Siti Mang, berkata 17 kotak parcel dan sejumlah bungkusan aluminum foil berisi 638kg bunga ganja ditemui dalam serbuan 2 Dis lalu, hasil risikan dua minggu.
“Ini merupakan rampasan bunga ganja terbesar direkodkan kastam sepanjang tahun ini,” katanya menurut Sinar Harian di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Kampung Jijan di Nilai.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan kerana ketika serbuan tiada sesiapa di rumah berkenaan, dipercayai telah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.”
Beliau berkata, rumah itu dipercayai disewa sindiket sejak September lalu untuk dijadikan lokasi membungkus bunga ganja menggunakan kotak cadar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, bunga ganja itu dipercayai untuk dihantar ke luar negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.