5 warga Thailand dijel 5 tahun berkait kes Wang Kelian

5 warga Thailand dijel 5 tahun berkait kes Wang Kelian

Mereka mengaku salah di Mahkamah Tinggi Kangar tuduhan lindungi migran di Bukit Wang Burma Padang Besar antara 2013 hingga 2015.

wang kelian bernama pic 7126
Empat warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar pada 2023 atas pertuduhan menyeludup migran di Bukit Wang Burma di Wang Kelian, Padang Besar antara 2013 hingga 2015. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lima lelaki warga Thailand dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kangar di Perlis atas tuduhan melindungi migran di Bukit Wang Burma di Wang Kelian, Padang Besar antara 2013 hingga 2015.

Tertuduh, Suchat Tohdin, 38; Jehpa Lapi-E, 58; Arun Kaeofainok, 31; Somphon A-Dam, 53, dan Amree Nesalaeh, 60, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohamad Abazafree Abbas selepas ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pendakwaan, lapor Kosmo!.

Suchat, Jehpa, Arun dan Somphon secara bersama didakwa melindungi warga Myanmar, Mohd Belal dengan mengetahui individu itu ialah migran yang diseludup di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di Kaki Bukit, Padang Besar antara Ogos 2014 hingga 5.30 pagi, 10 Mac 2015.

Amree pula didakwa melindungi Zedul Islam di lokasi sama antara Februari 2013 hingga April 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap semua tertuduh dari tarikh tangkapan.

Suchat ditahan pada 24 Feb 2022, manakala empat yang lain pula ditangkap pada 22 Jun 2023.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Mohd Izham Ali dan Timbalan Pendakwa Raya, Christoper Enteri Mawan.

Suchat diwakili peguam, Fatin Hayati Abdul Rahman manakala empat tertuduh lain diwakili peguam, V Rajadevan.

Pada Mei 2015, ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 139 kubur serta kem berkaitan isu pemerdagangan manusia dalam kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu.

Penemuan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Susulan siasatan dijalankan, kerajaan mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand terhadap 10 individu warga Thailand pada 6 Jan 2017, dan kedua-dua negara berusaha mengesan semua individu berkenaan bagi melaksanakan proses ekstradisi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.