Polis minta bantuan kesan bekas suami Indira

Polis minta bantuan kesan bekas suami Indira

Muhammad Riduan Abdullah dikehendaki kerana ingkar perintah mahkamah supaya serah anak kepada bekas isterinya.

indira
Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh beri Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap anaknya, serta perintah Muhammad Riduan Abdullah serah anak bongsu mereka, Prasana Diksa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan bekas suami Indira Gandhi, yang melarikan diri bersama anak bongsu mereka 17 tahun lepas.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, K Patmanathan @ Muhammad Riduan Abdullah, 57, yang beralamat di Nombor 10, Persiaran Pegoh Dua, Off Jalan Pasir Puteh di sini harus dikesan bagi membantu siasatan berkaitan waran pengkomitan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Yap Siew Cheng di talian 012-9093362,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Muhammad Riduan, yang memeluk Islam pada 2009, meninggalkan rumah di Ipoh bersama anak perempuannya, Prasana Diksa yang ketika itu berusia 11 bulan.

Dua hari kemudian dia secara sepihak menukar agama anaknya tanpa persetujuan serta pengetahuan Indira yang dikahwini pada 1993.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan Indira hak penjagaan sepenuhnya terhadap anaknya di samping memerintahkan Muhammad Riduan menyerahkan Prasana kepada ibunya.

Mahkamah Persekutuan pada 2016 mengarahkan ketua polis negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya itu kepada bekas isterinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.