Suami isteri ditahan bantu siasatan kes budak didera

Suami isteri ditahan bantu siasatan kes budak didera

Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak itu diberkas selepas mereka hadir ke IPD Nilai.

johari yahya
Ketua Polis Nilai Johari Yahya berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes penderaan melibatkan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang dijumpai di Nilai semalam.

Ketua Polis Nilai Johari Yahya berkata, ibu kandung mangsa berusia 30 tahun dan bapa tiri berusia 22 tahun diberkas pada 1.58 tengah hari selepas mereka hadir ke IPD Nilai.

Beliau berkata, kes tersebut terbongkar semalam apabila seorang penghantar makanan menjumpai kanak-kanak itu dalam keadaan terbiar, ketakutan dan menggigil di luar sebuah premis kedai serbaneka di Star Valley Nilai pada 5.30 petang.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat unsur kecederaan disyaki akibat penderaan pada beberapa bahagian tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut.”

Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati kanak-kanak itu pernah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor pada 2020 selepas mengalami kecederaan berupa kesan melecur akibat terkena air panas di beberapa bahagian badan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda dan atau penjara, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.