
Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada peguam negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding.
“Apa juga keputusan dibuat peguam negara, saya percaya ia dibuat dalam ruang perundangan mengikut kuasa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah 2026 di Bandar Baharu, Kedah, lapor Bernama.
Awal hari ini, AGC mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes tersebut, memandangkan keterangan yang ada, hasil siasatan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan bagi semua tuduhan.
Pasukan guaman Zahid yang juga presiden Umno kemudian berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat bagi menukar perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum ini kepada kepada lepas dan bebas (DAA).
Pada 2023, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan DNAA bagi Zahid atas 47 pertuduhan berkenaan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.