Kes Yayasan Akalbudi Zahid NFA

Kes Yayasan Akalbudi Zahid NFA

AGC dapati keterangan yang ada, hasil siasatan susulan SPRM, tidak cukup untuk teruskan pendakwaan.

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Zahid Hamidi sebelum ini peroleh DNAA berkait 47 tuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi bagi membolehkan SPRM jalan siasatan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung kes berkaitan dana Yayasan Akalbudi, yang melibatkan Presiden Umno, Zahid Hamidi.

AGC berkata keterangan yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan bagi semua pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Ia memutuskan demikian berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperolehi hasil siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan, pada 4 sept 2023.

“Keputusan ini dengan sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan,” menurut kenyataan.

Mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Zahid selepas membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya yang memaklumkan AGC ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau, pada peringkat itu.

Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram.

AGC hari ini menerangkan siasatan lanjut SPRM merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada AGC, selepas Zahid dipanggil untuk membela diri.

Katanya, penelitian AGC ke atas bahan dan keterangan baharu turut mempertimbangkan skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan; serta pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaaan.

Turut dipertimbangkan langkah-langkah siasatan lanjut yang dijalankan SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu kes; serta dapatan hasil siasatan lanjut merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam badan berkenaan dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.