
Pejabat Sultan Selangor memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah akur dengan kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal demi memenuhi keperluan rakyat bukan Islam, namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti masyarakat yang majoritinya beragama Islam.
“Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan berkenaan, khususnya apabila ada kemungkinan ia melibatkan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara,” menurut kenyataan.
Kerajaan Selangor memutuskan untuk melaksanakan penternakan babi secara berpusat dan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor bagi memastikan industri ternakan babi diurus secara lebih bersih, tersusun dan moden, selain tidak menjejaskan alam sekitar serta keharmonian masyarakat setempat, menurut Bernama pada Khamis.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim dilapor berkata lokasi yang dikenalpasti sesuai melibatkan kawasan kira-kira 202 hektar termasuk zon penampan, dengan pelaksanaan sistem penternakan tertutup serta konsep sifar pelepasan.
Sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjong Sepat, Kuala Langat ketika ini terus beroperasi di lokasi masing-masing untuk tempoh tiga tahun sebelum dipindahkan, serta diwajibkan menaik taraf sistem kumbahan dalam tempoh tahun pertama fasa peralihan bagi menangani isu pencemaran bau dan air.
Pejabat Sultan Selangor bagaimanapun berkata masalah berkaitan penternakan babi di Kuala Langat masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010, dengan penduduk sekitar menanggung pelbagai kesan termasuk bau busuk, pencemaran air sungai, serta masalah lalat.
“Baginda mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar,” katanya.
Katanya lagi, Sultan Sharafuddin tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan kawasan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi sebelum berpindah ke Bukit Tagar, kerana bimbang masalah pencemaran yang berlarutan di kawasan itu sejak 16 tahun lalu akan menjadi lebih buruk.
“Baginda mempersoalkan dengan serius sama ada perancangan projek penternakan babi berskala besar ini ada melibatkan kepentingan kelompok ahli politik dan ahli perniagaan tertentu, serta menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya unsur rasuah, konflik kepentingan atau ketirisan tadbir urus dalam proses perancangan dan kelulusan projek berkenaan,” katanya.
Sultan Sharafuddin juga menyoal sama ada cadangan terbaharu ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, memandangkan kos pemodenan menelan belanja yang sangat tinggi dan tidak sanggup untuk ditanggung oleh pengusaha ternakan, katanya.
“Peruntukan itu lebih bermanfaat disalurkan untuk pembangunan kemudahan asas rakyat seperti sekolah dan hospital,” katanya.
Katanya lagi, Sultan Sharafuddin tidak membantah sepenuhnya cadangan projek berkenaan, namun kajian pasaran harus dibuat dengan teliti dan rasional sebelum ketetapan muktamad dibuat.
“Pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum,” katanya.