1 maut, 9 cedera letupan pemampat di universiti

1 maut, 9 cedera letupan pemampat di universiti

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mangsa maut adalah kontraktor, manakala dua lagi kontraktor parah.

letupan help university
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata letupan di kampus universiti tersebut melibatkan sebuah pemampat. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang maut, manakala sembilan lain cedera dalam satu letupan melibatkan pemampat pendingin hawa di sebuah universiti swasta, di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, berkata panggilan kecemasan diterima pada 11.45 pagi dengan letupan berlaku di kawasan penyelenggaraan yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti itu.

Menurut kenyataan, mangsa maut adalah Soo Yu Yuan, 24, yang disahkan maut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, empat pelajar di universiti berkenaan cedera. Turut mengalami cedera ringan dua pekerja kantin dari Indonesia.

“Dua lelaki selaku kontraktor cedera parah dengan seorang daripadanya meninggal dunia di HKL.”

Dalam pada itu, menurut Bernama, Fadil berkata, kecederaan berlaku akibat mangsa terkena serpihan kerana letupan berlaku dengan kuat sehingga menyebabkan kerosakan pada dinding di kawasan terlibat.

Fadil berkata, selain HKL semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Sungai Buloh dan diasingkan mengikut tahap kecederaan masing-masing.

Sementara itu, Ibu Pejabat Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan, berkata pihaknya mendapati berlaku letupan semasa penyelenggaraan di tingkat empat Help University melibatkan bilik pemampat pendingin hawa.

“Pasukan Hazmat juga turut menjalankan kerja-kerja mengenalpasti dan mengesan kebocoran gas di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati tiada kewujudan gas berbahaya dikesan. Keadaan terkawal dan kerja-kerja siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, seramai 38 anggota digerakkan dari Balai Bomba Sentul, Taman Tun Dr Ismail, dan Jalan Tun Razak bersama tiga jentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.