Berhenti jual nostalgia, Umno perlu berubah untuk tawan anak muda

Berhenti jual nostalgia, Umno perlu berubah untuk tawan anak muda

Umno perlu bina pelan tindakan jelas dan realistic dalam tempoh 24 bulan sebelum PRU16, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

pemuda umno
Realiti penolakan terhadap Umno sejak dua pilihan raya lalu, termasuk kehilangan sokongan pengundi Melayu, menuntut pendekatan luar biasa, tegas timbalan presiden parti.
KUALA LUMPUR:
Umno perlu berhenti menjual nostalgia dan segera melakukan perubahan drastik bagi menawan sokongan pengundi muda, kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan.

Beliau berkata persoalan mendesak yang perlu dijawab kepimpinan parti ketika ini ialah hala tuju Umno dalam tempoh 24 bulan sebelum PRU16, termasuk keperluan membina pelan tindakan atau ‘roadmap’ jelas dan realistik.

Tegasnya, generasi muda hari ini tidak membesar dengan pengalaman melihat kegemilangan Barisan Nasional (BN) atau pembangunan besar Felda pada era 1980-an, sebaliknya membentuk pandangan politik melalui media sosial.

“Mereka adalah ‘generasi tanpa nostalgia’, mereka tidak mengundi atas dasar parti. Apa yang mereka nampak di TikTok, sejak akil baligh, hanyalah fitnah dan tohmahan,” katanya ketika merasmikan perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2025.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan kepimpinan dan jentera parti supaya menghentikan naratif sejarah semata-mata dan mula menawarkan visi masa depan yang relevan dengan keperluan semasa anak muda.

“Maka, arahan saya malam ini jelas: berhenti jual sejarah. Mulakan jual masa depan,” katanya.

Mohamad berkata pengundi muda, termasuk mereka yang bekerja dalam ekonomi gig, tidak terikat dengan pencapaian Umno puluhan tahun lalu, sebaliknya membuat pilihan berdasarkan harapan bagi masa depan kehidupan mereka.

“Dia mengundi atas dasar harapan tentang masa depan. Dia tanya: ‘Gaji aku cukup tak? Boleh beli rumah tak?’ Kita mesti tawarkan solusi gaji dan kerjaya. Ketengahkan rancangan ekonomi gig dan kebebasan bekerja,” katanya.

Beliau mengingatkan supaya golongan muda tidak dihukum hanya kerana perbezaan pandangan atau penampilan, sebaliknya perlu dirangkul sebagai sebahagian masa depan parti.

“Jangan menghukum mereka atas perbezaan pendapat dan isu penampilan. Rangkullah mereka. Tunjukkan mereka bahawa Umno parti yang relevan, terbuka dan sedia mendengar,” katanya.

Mohamad menegaskan Umno kini memerlukan apa yang disifatkann sebagai ‘creative disruption’ atau gangguan kreatif, iaitu idea dan inovasi baharu yang bersifat drastik untuk mencetuskan perubahan besar.

Beliau berkata realiti penolakan terhadap Umno sejak dua pilihan raya lalu, termasuk kehilangan sokongan pengundi Melayu, menuntut pendekatan luar biasa kerana strategi sedia ada gagal memberikan impak memberangsangkan.

“Penolakan dan realiti yang bersifat drastik menuntut sentuhan yang turut bersifat drastik,” katanya, sambil mengakui sokongan penyokong tegar Umno semakin menyusut akibat peralihan sokongan dan kemunculan generasi baharu yang tidak mempunyai keterhubungan dengan parti.

Mohamad turut mengkritik struktur Umno yang disifatkan terlalu berat, pegun dan tidak anjal, menegaskan parti perlu bergerak ke arah pendekatan digital bagi kekal relevan.

“Jika kita tidak bersifat drastik dalam pendekatan kita, kita akan ketinggalan dan menjadi sangat tidak relevan,” katanya, sambil menekankan keperluan mendigitalkan parti serta membina keterhubungan dengan generasi baharu yang dianggap penentu kelangsungan Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.