Peguam tarik balik saman berhubung DNAA Zahid

Peguam tarik balik saman berhubung DNAA Zahid

Notis difailkan minggu lepas, sehari selepas AGC keluar kenyataan berhubung status NFA kes Yayasan Akalbudi.

zahid hamidi
Peguam Hisyam Teh Poh Teik sebelum ini berkata, satu permohonan akan difailkan di mahkamah untuk mengubah status DNAA Zahid Hamidi kepada DAA.
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam menarik balik samannya berhubung siasatan lanjut pihak berkuasa ke atas kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan Zahid Hamidi, menyatakan ia tidak lagi relevan berikutan kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

FMT difahamkan bahawa notis penarikan balik difailkan minggu lepas, sehari selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berhubung status NFA kes tersebut.

Pada 8 Jan, AGC berkata, pihaknya mendapati keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan tuduhan, susulan siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Apabila dihubungi, pemohon, Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim, mengesahkan perkara itu, namun enggan memberi komen lanjut.

Dalam saman pemula yang difailkan bulan lepas, beliau berkata ia bertujuan memperoleh kejelasan, akauntabiliti dan penyelesaian segera berikutan alasan-alasan yang dikemukakan secara terbuka bagi mewajarkan keputusan lepas tanpa bebas (DNAA).

Syed Amir berkata, tiada perkembangan terkini dimaklumkan kepada umum sama ada siasatan tersebut telah selesai atau bila keputusan pendakwaan muktamad akan dibuat.

Pada 4 Sept 2023, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah membenarkan Zahid dilepas dan dibebaskan daripada 47 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah ketika prosiding pada peringkat pembelaan, agar SPRM boleh menjalankan siasatan lanjut.

Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik minggu lepas berkata, satu permohonan akan difailkan di mahkamah untuk mengubah status DNAA yang diberikan sebelum ini kepada pelepasan dan pembebasan penuh (DAA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.