
Beliau menegaskan sepanjang lebih tiga tahun dalam pentadbiran Anwar Ibrahim itu, Umno mengamalkan politik matang, berani berhadapan, menetapkan garis merah serta mempertahankan agama, bangsa dan prinsip Raja Berperlembagaan.
“Keputusan ini bukan tergesa-gesa. Setiap risiko ditimbang dan setiap peluang diperhalusi. Jadi jangan keliru, kerjasama politik ini bukan bermakna kita lemah.
“Bekerjasama tidak bermaksud tunduk. Berunding tidak bermaksud menyerah. Umno tahu garisnya, tahu prinsipnya dan tahu tanggungjawabnya,” katanya menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2025.
Noraini berkata, walaupun Umno tidak menjalinkan kerjasama politik dengan parti tertentu, ia tidak bermaksud pintu kerjasama ditutup sepenuhnya, sebaliknya ruang itu masih terbuka, namun Umno perlu memimpin.
“Umno mesti menjadi parti teras, parti yang memimpin, bukan sekadar mengikut. Kita ada sejarah, kita ada pengalaman, kita ada akar umbi yang kuat,” katanya.
Noraini turut menegaskan Wanita Umno tidak boleh bergerak dengan suara bercanggah untuk memastikan bergerak ke depan.
“Tidak boleh ada bisik yang memecah, gerak melemahkan dan watak merosakkan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut menuntut supaya 30% penyertaan wanita dalam kepimpinan diikat secara rasmi dalam perlembagaan parti.
“Wanita bukan sekadar jentera digerakkan ketika pilihan raya. Wanita bukan hanya pengisi barisan ketika kempen.
“Wanita mesti menjadi sebahagian daripada pembuat dasar, menjadi penentu hala tuju dan tiang seri kepada kekuatan parti.
Beliau turut menggesa Umno menjadi pelopor bagi memastikan Akta Pendanaan Politik segera diwujudkan.
“Ada pihak mungkin takut dengan Akta Pendanaan Politik ini. Takut terdedah. Takut terbongkar. Takut rahsia mereka terungkai. Tetapi bukan Umno.
“Akta Pendanaan Politik ini nanti bukan sekadar satu undang-undang. Ia adalah lambang kepada politik baharu Malaysia yang bersih dan telus selain mengutamakan kepentingan rakyat” katanya.