Jabatan, agensi bawah Kuskop wajib utama produk tempatan

Jabatan, agensi bawah Kuskop wajib utama produk tempatan

Menterinya Steven Sim berkata ia termasuk pemilihan cenderahati untuk delegasi asing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata inisiatif itu sebahagian misi besar Kuskop memantapkan perniagaan Malaysia menerusi strategi empat serangkai dikenali ‘ABCD’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semua jabatan serta agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) wajib mengutamakan produk tempatan dalam setiap urusan rasmi, termasuk pemilihan cenderahati untuk delegasi asing.

Menterinya, Steven Sim, berkata ia bagi memastikan kerajaan menjadi pemangkin utama dalam memartabatkan produk buatan Malaysia sebelum mengharapkan keyakinan daripada pasaran antarabangsa.

Tegasnya, amalan memberi cenderahati jenama luar negara yang dianggap lebih eksklusif atau berjenama perlu dihentikan, jika ada alternatif tempatan setanding kualitinya.

“Mula dengan Kuskop. CEO (ketua pegawai eksekutif), KSU (ketua setiausaha), ini arahan menteri, semua jabatan, agensi kita di bawah kementerian wajib beri keutamaan kepada produk jenama Malaysia.

“Sebagai contoh, cenderahati. Botol air yang orang kata berjenama dari luar negara, seronok juga pegawai dapat, tetamu kita dapat, tapi takkan kita tak ada satu alternatif tempatan?” katanya menurut Berita Harian dalam amanat menteri Kuskop di Menara Kembar Bank Rakyat.

Beliau berkata, inisiatif itu sebahagian misi besar Kuskop memantapkan perniagaan Malaysia menerusi strategi empat serangkai dikenali ‘ABCD’ yang merujuk anjakan produktiviti (A), birokrasi dipermudah (B), capaian modal (C) dan daya akses pasaran (D).

Jelasnya, strategi daya akses pasaran sangat penting untuk memastikan produk tempatan diletakkan secara strategik untuk dilihat pengguna, bukannya di barisan belakang.

“Pasaran ini bukan saja mengenai eksport ke luar negara, malah kita perlu fokus pasaran domestik. Kita mahu pastikan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) serta koperasi mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.

“Jenama antarabangsa yang berjaya hari ini tidak bermula dengan peminat luar negara, mereka bermula dengan sokongan rakyat sendiri. Jadi, kita harus mulakan dengan diri kita.”

Katanya, peluang pasaran tempatan sangat luas dengan adanya suntikan dana kira-kira RM34 bilion dalam pasaran domestik pada bulan ini menerusi pelbagai bantuan kerajaan dan pelarasan gaji penjawat awam.

Sim berkata, tahun ini, Kuskop merangka 217 program dengan peruntukan RM754 juta bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 yang disasarkan memanfaatkan lebih 400,000 usahawan dan koperasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.