RUU PSB akan ditambah baik, kata Fahmi

RUU PSB akan ditambah baik, kata Fahmi

Setelah ditambah baik dan dibincangkan, RUU akan dibentangkan semula di Parlimen nanti, kata jurucakap kerajaan.

FAHMI FADZIL
Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen, anggota Jemaah Menteri, serta ‘rakan-rakan Umno’.
PUTRAJAYA:
Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bagi tujuan penambahbaikan sebelum dibentangkan semula kelak.

Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diputuskan selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen yang menyuarakan kebimbangan mengenai RUU tersebut, anggota Jemaah Menteri, serta ‘rakan-rakan Umno’.

“Jemaah Menteri hari ini bersetuju bahawa RUU PSB ini akan ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan yang akan diteliti dibentangkan, dibincang dan diputuskan pada satu tempoh yang akan dimaklumkan (sebelum) dibentangkan semula dalam bentuk yang baharu di Parlimen,” katanya pada sidang media.

RUU ini bertujuan membangunkan semula kawasan perumahan lama dan usang bagi menjamin kesejahteraan penduduk serta memastikan pembangunan bandar yang mampan.

Ia menggariskan tiga jenis projek, iaitu pembangunan semula yang membabitkan kerja meroboh dan membina semula projek perumahan; pemulihan yang melibatkan pembaikan atau menaik taraf bangunan usang atau terbengkalai; serta revitalisasi berkaitan naik taraf atau tambah baik sesuatu kawasan tanpa sebarang perobohan.

Bagaimanapun, bantahan daripada pihak pembangkang dan sebahagian wakil blok kerajaan, termasuk Barisan Nasional dan tujuh Ahli Parlimen PKR, menghalang RUU tersebut daripada diluluskan pada sidang Dewan Rakyat Ogos lepas.

Pada November, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memaklumkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memutuskan bila RUU tersebut akan dibaca buat kali kedua di Dewan Rakyat.

Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata, Nga telah menerima beberapa cadangan daripada Umno, dan hampir kesemuanya akan dimasukkan ke dalam RUU yang disemak semula itu.

Apabila ditanya tarikh RUU itu akan dibentangkan semula, beliau memaklumkan, Jemaah Menteri menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk merangka versi baharu.

“Setelah proses itu bermula, Jemaah Menteri akan diberikan sedikit taklimat … draf yang baharu mesti dibawa juga kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan. Jadi kita jangkakan, akan makan sedikit masa,” katanya.

Pada 20 Jan lepas, Nga berkata, kementeriannya bersedia membentangkan semula RUU itu untuk bacaan kali kedua sekiranya mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.