Bukan tempat buang sisa, misi ZWES ‘matikan’ rantaian sampah

Bukan tempat buang sisa, misi ZWES ‘matikan’ rantaian sampah

Zero Waste Earth Store adalah perusahaan sosial yang mempromosi konsep pengisian semula cecair pembersihan dan pusat penghubung komuniti dengan agensi pengurusan sisa.

Santa Claus Mesra Alam at Zero Waste Earth Store
Pelbagai produk isian semula dan mesra alam dijual pada harga murah.
PETALING JAYA:
Ramai menganggap kitar semula sebagai ‘penyelamat’ alam sekitar namun bagi pengasas Zero Waste Earth Store (ZWES) itu hanya penyelesaian jangka pendek.

Jaclynn Wong Yin Thing dan Dr Janira Kumari enggan premis mereka dipandang sekadar pusat transit sisa buangan, sebaliknya misi jauh lebih besar iaitu mendidik rakyat berhenti ‘mencipta sampah’ dan mengamalkan prinsip sifar sisa.

“Ada juga orang yang datang ke sini dan kata ‘terima kasih kerana mengambil sampah dan asingkan sisa buangan kami’.

“Tapi, matlamat utama kami bukan untuk mencipta lebih banyak sisa. Sebab itu kami tidak menamakan diri kami sebagai kedai kitar semula. Kami adalah sifar sisa,” kata Janira kepada FMT.

Menceritakan detik awal penubuhan, ZWES mula beroperasi pada Ogos 2019, hanya empat bulan sebelum dunia dilumpuhkan oleh Covid-19. Namun, pandemik itu menjadi hikmah tersembunyi buat mereka.

Ketika itu, ZWES antara premis membekalkan cecair sanitasi tangan. Dengan mengekalkan harga rendah dan mempromosikan konsep pengisian semula, mereka berjaya menarik minat komuniti setempat.

Santa Claus Mesra Alam at Zero Waste Earth Store
Inisiatif isian semula cecair pencuci di Zero Waste Earth Store bagi menggalakkan penggunaan semula bekas sedia ada.

“Orang datang untuk isi semula sanitasi tangan, tetapi pada masa sama mereka mula faham barang rumah yang lain pun boleh diisi semula. Itulah cara kami bertahan,” kata Janira.

Antara kemudahan isian semula disediakan termasuk detergen, pelembut fabrik, cecair pencuci pinggan dan pencuci badan, selain menawarkan produk lestari lain seperti beg kitar semula buatan tangan, kopi dan straw boleh dimakan.

Sebagai seorang pakar perubatan, Janira menegaskan sifar sisa bukan lagi sekadar pilihan gaya hidup, malah keperluan mendesak bagi menjamin kesihatan.

Beliau mendedahkan, kajian menunjukkan mikroplastik kini bukan sahaja mencemari alam sekitar, malah sudah berada di dalam tubuh manusia.

Zero Waste Earth Store
Pengasas Zero Waste Earth Store Jaclynn Wong Yin Thing dan Dr Janira Kumari komited ajak masyarakat mengamalkan gaya hidup sifar sisa.

“Pendedahan kesan bahan kimia yang meresap daripada plastik turut mengganggu sistem endokrin, iaitu menyebabkan gangguan hormon, masalah kesuburan, malah perubahan fizikal akibat pendedahan kepada xenoestrogen,” katanya.

Walaupun berpegang teguh pada prinsip sifar sisa, ZWES tetap berfungsi sebagai pusat penghubung untuk membantu komuniti menguruskan sisa yang tidak dapat dielakkan.

Mereka menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi khusus untuk memastikan sisa seperti pakaian, minyak terpakai, plastik, dan logam disalurkan serta dikitar semula secara bertanggungjawab.

“Ini adalah perusahaan sosial, kami bukan mahu mengaut keuntungan. Harapan kami suatu hari nanti, orang ramai tidak lagi datang membawa sampah untuk kami uruskan, tetapi datang untuk belajar bagaimana untuk tidak mencipta sampah.

“Kami ingin masyarakat sedar bahawa pada akhirnya, semua sisa ini tetap akan berakhir di tapak pelupusan. Oleh itu, amalkan prinsip fikir semula, guna semula, dan tukar fungsi, sebelum kita memutuskan untuk mengitar semula,” pesan Janira.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.