
Rampasan membabitkan barangan terpakai seperti unit pemprosesan pusat (CPU), pencetak dan mesin fotostat dari Amerika Syarikat (AS)
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata rampasan dibuat selepas pemeriksaan ke atas 10 kontena di tapak pemeriksaan kontena CFS 4 Pelabuhan Klang Barat, jam 10.45 pagi.
“Hasil pemeriksaan, sembilan kontena yang diimport dari Amerika Syarikat ditahan kerana disyaki membawa barangan larangan.
“Daripada jumlah itu, tujuh kontena tidak diisytiharkan secara sah untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati satu kontena membawa CPU terpakai, tiga kontena pencetak terpakai, satu kontena mesin fotostat terpakai dan empat kontena besi buruk.
Katanya, semua barangan itu termasuk dalam kategori sisa terjadual yang dilarang diimport mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menurutnya, kontena yang mengandungi sisa elektronik itu akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu arahan lanjut Jabatan Alam Sekitar untuk tujuan penghantaran semula ke negara asal.
“AKPS akan meneruskan pemeriksaan terhadap kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara,” katanya.